Translate

Tuesday, February 9, 2021

Terengganu rugi RM20 juta akibat banjir

 KUALA TERENGGANU - Lima gelombang banjir yang melanda Terengganu sepanjang musim tengkujuh ini dari 18 November tahun lalu hingga 11 Januari lalu telah menyebabkan kerugian hampir RM20 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat  berkata,  kerugian itu disebabkan kerosakan teruk kemudahan awam di kawasan terjejas terutama jalan raya dan sekolah.

Beliau berkata,  kerugian dianggarkan RM20 juta tersebut telah ditaksir Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu baru-baru ini.

"Kerajaan negeri Terengganu telah mengemukakan laporan tersebut keada kerajaan Pusat untuk tindakan selanjutnya.

"Begitupun, kerugian RM20 juta tersebut hanya melibatkan kemusnahan kemudahan awam dan kediaman di lapan daerah di negeri ini tidak termasuk harta benda peribadi penduduk," katanya di sini semalam.

Hanafiah berkata, kerugian barangan elektrik yang dialami lebih RM16,000 mangsa banjir di Terengganu pula dianggarkan berjumlah RM5 juta.

Ujarnya, kerajaan negeri Terengganu telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan Pusat  bagi membantu meringankan beban mangsa banjir sekurang-kurangnya melibatkan barangan elektrik yang telah rosak.

"Bantuan sama pernah dihulurkan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pada tahun 2014," katanya.


No comments:

Post a Comment