Translate

Sunday, February 21, 2021

UniSZA hasil Electrico, pemainan prinsip asas elektrik

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Seorang pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) merekacipta permainan interaktif, Electrico bagi memudahkan penuntut pusat asasi dan pelajar sekolah memahami prinsip asas elektrik dengan lebih mudah.

Dr. Siti Maisarah Aziz yang merupakan pensyarah Fizik Pusat Asasi Sains dan Perubatan (Puspa), UniSZA berkata, idea membangunkan permainan tersebut timbul selepas kebanyakan pelajarnya terutama perempuan sukar memahami sub subjek elektrik yang diajarnya.

“Kebanyakan mereka telah menanamkan persepsi subjek Fizik itu sukar hingga gagal memahami prinsip elektrik walaupun ia sebenarnya telah dipelajari sejak sekolah menengah lagi.

“Sehubungan itu, saya telah merekacipta permainan Electrico yang merupakan gabungan menguji pengetahuan am dan praktikal yang boleh dimainkan antara dua hingga empat orang,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Siti Maisarah berkata, permainan Electrico berkonsep seperti Jutaria yang memerlukan pemain menjawab soalan bagi mendapatkan wang bagi membeli kompenan elektrik seperti lampu LED, pelaras bunyi, perintang dan loceng isyarat bagi memasang sebuah litar mudah.

Ujar beliau, soalan tersebut mempunyai tiga tahap iaitu mudah, sederhana dan sukar mengikut silibus pusat asasi dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Pemain perlu memasang kompenan elektrik yang dibeli pada papan litar disediakan. Sesiapa yang paling pantas melengkapkannya dengan semua kompenan elektrik itu berfungsi baik akan diisytihar sebagai pemenang.

“Permainan Electrico membolehkan pelajar memahami konsep asas elektrik secara praktikal dengan lebih mudah dan santai. Ia juga boleh menjadi asas kepada anak-anak bagi meminat bidang kejuruteraan elektrik,” katanya.

Siti Maisarah berkata, setakat ini, Electrico telah memenangi tiga pingat emas dalam pertandingan penyelidikan dan inovasi iaitu Pertandingan Amalan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran (AIPP), Karnival Inovasi Universiti Malaysia Terengganu 2020, Karnival e-Pengajaran UniSZA 2020 (UniCeL 2020) dan Pertandingan Inovasi Pusat Sains Dan Perubatan UniSZA 2020.

Beliau berkata, produk permainan itu sudah dipatenkan dengan Perbadanan Intelek Malaysia baru-baru inu dan pihaknya berhasrat untuk mengkomersialkannya pada masa terdekat. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment