Translate

Monday, February 1, 2021

Vaksin Covid-19 fasa pertama tiba 26 Februari ini


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Negara dijangka bakal menerima fasa pertama bekalan vaksin Covid-19 yang dibeli daripada syarikat farmaseutikal, Pfizer pada 26 Februari depan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, 12.8 juta dos vaksin Covid-19 itu akan diagih-agihkan kepada semua negeri sebaik tiba di pintu masuk antarabangsa negara pada tarikh berkenaan.

Beliau berkata, proses pengagihan bekalan vaksin berkenaan ke negeri-negeri disasar dapat diselesaikan dalam tempoh selewat-lewatnya dua minggu.

“Kita akan agihkan vaksin (Covid-19) apabila sampai ke pintu masuk antarabangsa, mungkin dalam tempoh seminggu, dua sebelum disuntik kepada penerima,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas melakukan perjumpaan dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Kosmo! 28 November lalu melaporkan Malaysia akan mendapatkn 12.8 juta dos vaksin Covid-19 daripada Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini secara percuma.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dibuat menerusi satu perjanjian bersama dengan syarikat tersebut pada 24 November lalu yang antara lainnya memastikan kerajan mempunyai akses kepada data untuk menilai kualiti, keselamatan dan tahap keberkesanan vaksin berkenaan. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment