KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga roti canai mengambil peluang ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak Isnin lalu untuk menceriakan persekitaran warungnya dengan lukisan mural.
Pengusaha warung Adilroti, Adil Abd. Rahman, 40, dia telah mengupah pelukis mural prolifik, Taib Abdul Rahman, 42, atau lebih dikenali sebagai Taib Aur untuk merealisasikan impiannya.
Katanya, mural yang dilukis pada sebatang tiang Jambatan Sultan Mahmud berdekatan warungnya itu dijangka siap sepenuhnya Selasa ini.
“Berkonsep kartun tiga dimensi, ia akan menjadi ruang kepada pelanggan berswafoto dan merakamkan momen sewaktu menikmati roti canai di warung saya.
“Sudah lama saya berhasrat untuk menyediakan ruang ini sejak berniaga roti canai jenama roti gedik di bawah Jambatan Sultan Mahmud pada tahun 2016.
“Kekurangan pelanggan ketika ini membolehkan saya mengupah pelukis mural untuk merealiasikannya,” katanya ketika ditemui di Kampung Hiliran Jejawi di sini kelmarin.
Adil berkata, mural tersebut bertemakan kehidupan di Kampung Hiliran Jejawi yang masih mengekalkan elemen tradisional walaupun terletak hampir dengan pusat bandar raya ini.
Jelasnya, mural berukuran 1.47 meter lebar dan 1.47 meter panjang itu seakan-akan ‘hidup’ apabila dirakam lensa kamera.
“Saya berharap ia akan menjadi tarikan baharu pelanggan ke warung Adilroti selepas PKP dilonggarkan,” katanya.
Dia juga menjangkakan mural itu bakal menjadi antara tarikan pelancongan di bandar raya ini.
“Lokasi warung saya juga berhampiran perusahaan keropok lekor Losong, Muzium Terengganu, Pasar Kedai Payang, Taman Tamadun Islam dan Jambatan Angkat Kuala Terengganu,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment