Translate

Wednesday, February 24, 2021

Tun Salleh Abas meninggal dunia

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Salleh Abas, 91, meninggal dunia dipercayai akibat radang paru-paru semalam. 

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Hibah dan Tugas-Tugas Khas Terengganu tersebut menghembuskan nafas terakhir di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini pada pukul 3.20 pagi.

 Menantu Allahyarham, Wan Pauzi Wan Yahya, 67, berkata, jenazah Mohamed Salleh selamat dikebumikan bersebelahan pusara isteri pertamanya, Toh Puan Azimah Mohamad Ali yang meninggal dunia pada 2015. 

“Allahyarham (Mohamed Salleh) yang dimasukkan ke hospital pada minggu lalu sebelum dipindahkan ke ICU pada dua hari lalu (Khamis) berwasiat agar jenazahnya dikebumikan bersebelahan pusara isterinya. 

“Alhamdulillah, kebanyakan ahli keluarga yang menetap di Kuala Lumpur menerima kebenaran untuk merentas negeri. Kami agak terkilan tidak dapat menatap wajahnya buat kali terakhir,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Jalan Pusara di sini semalam. 

Terdahulu, jenazah Mohamed Salleh selamat dikebumikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) khas oleh petugas Kementerian Kesihatan yang memakai pakaian perlindungan diri (PPE) pada pukul 10.30 pagi. 

Ahli keluarga Mohamed Salleh termasuk Wan Pauzi hanya dibenarkan menyaksikan upacara pengebumian dari luar tembok tanah perkuburan Islam itu. 

Sebelum ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif as-Salihin Trustee Berhad, Abdul Aziz Peru Mohamed dalam kenyataannya pada Khamis lalu mengesahkan Mohamed Salleh yang juga pengerusi syarikat amanah tersebut dirawat di ICU HSNZ disahkan dijangkiti Covid-19. 

Kata Wan Pauzi, walaupun Allahyarham menghidap diabetes, tekanan darah tinggi, masalah jantung serta buah pinggang, beliau masih boleh berjalan sehingga dimasukkan ke hospital minggu lalu.

 Ujarnya, sewaktu Allahyarham Mohamed Salleh masih sedar, beliau sempat berpesan kepada lima anak dan 26 cucunya agar menjaga hubungan kekeluargaan selepas pemergiannya. 

Mohamed Salleh yang berasal dari Kampung Raja, Besut pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Jertih daripada Pas apabila memenangi Pilihan Raya Umum ke-10 pada tahun 1999 sebelum dilantik exco kerajaan negeri. 

No comments:

Post a Comment