Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah mempercepatkan pembayaran bantuan sara hidup bulan ini kepada 173 penerima dalam kalangan asnaf mualaf di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, M. Rozi Bidin berkata, pembayaran awal itu bagi membolehkan mualaf terutama dalam kalangan kaum Cina merayakan Tahun Baru Cina yang disambut hari ini.
“Bantuan sara hidup kepada asnaf mualaf tersebut dilunas awal menerusi akaun bank masing-masing pada awal minggu ini berbanding kebiasaan pada hujung bulan.
“Ia sebagai tanda keprihatinan bagi membolehkan mereka membuat persediaan menyambut Tahun Baru Cina dengan ahli keluarga masing-masing yang sebahagian masih dalam agama asal.
“Kita juga memahami waktu ini amat sukar berikutan penularan pandemik Covid-19,” katanya di sini hari ini.
M. Rozi berkata, pembayaran awal bantuan sara hidup itu turut melibatkan 2,195 asnaf fakir di negeri tersebut.
Jelas beliau, pembayaran bantuan sara hidup awal bagi kedua-dua kategori asnaf itu berjumlah RM820,000.
“Maidam juga sedang berikhtiar untuk melunaskan lebih awal bantuan sara hidup bulan ini kepada asnaf kategori lain,” katanya. – K! ONLINE.
No comments:
Post a Comment