Translate

Friday, February 12, 2021

Bangsal buruk jadi tempat belajar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SETIU -Liputan talian telekomunikasi yang terlalu lemah, hampir 150 pelajar sekolah dan penuntut universiti di Kampung Payong dekat sini terpaksa belajar di sebuah bangsal usang di dalam kebun kelapa sawit.

Selain bangsal usang itu, mereka juga berpaksa 'berkampung' di sebuah pondok rehat berhampiran kawasan berkelahan demi mendapatkan liputan internet untuk menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Seorang pelajar, Muhammad Fakrul Fattah Abdul Gani, 16, berkata, dia dan rakan sekampung tiada pilihan lain selain berkumpul beramai-ramai belajar di bangsal buruk dan pondok rehat pada setiap hari persekolahan.

"Kalau ikutkan memang tidak selesa tetapi hanya dua kawasan itu sahajalah kami boleh mendapat liputan Internet yang lebih stabil untuk belajar.

"Kami juga hampir putus asa untuk meneruskan PdPR ini namun mujurlah dorongan ibu bapa yang sebahagiannya sanggup menemankan kami menguatkan semangat untuk terus belajar," katanya di sini semalam.

Nurul Aliana Mat Arif, 21, yang merupakan pelajar sebuah institusi pengajian tinggi pula berkata, liputan telekomunikasi di kawasan lain di kampung tersebut sangat lemah dan masalah itu sudah berlarutan sekian lama.

"Kalau di rumah kami, jangankan menyertai kelas maya secara Google Meet, berhubung menerusi aplikasi WhatsApp untuk payah.

"Kalau ikutkan liputan Internet di bangsal dan pondok rehat itu tidaklah terlalu stabil tetapi bolehlah kami belajar walaupun kerap juga terputus dan perlu disambung semula," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa  Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri  mengakui  dan menyedari masalah liputan telekomunikasi yang terlalu lemah di Kampung Payong.

"Sebenarnya menara telekomunikasi di perkampungan pada masa ini hanya menyediakan perkhidmatan 2G dan difahamkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan menaiktaraf menara telekomunikasi itu kepada 4G dan menambah satu lagi menara (telekomunikasi) pada masa terdekat," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Langkap, Datuk Sabri Mohd. Noor berkata, pihaknya akan memasang khemah di kawasan bangsal dan pondok rehat tersebut demi keselesaan murid dan pelajar.

No comments:

Post a Comment