Translate

Tuesday, February 16, 2021

Pak belang bikin bimbang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sekumpulan penternak di Kampung Lubuk Periuk, Hulu Terengganu di sini masih diselubungi rasa bimbang kerana mendakwa harimau yang membaham dua ekor lembu mereka Khamis lalu masih berlegar-legar di situ.

Dakwaan itu disokong de­ngan penemuan kesan tapak kaki baharu yang masih basah tidak jauh dari kandang lembu pada pukul 6 petang kelmarin.

Seorang penternak, Sumani Mohamad, 58, berkata, kesan itu ditemui ketika dia membuat rondaan bersama rakan-rakan tidak jauh dari kandang lembu ternakannya.

“Kesan tapak kaki harimau itu masih basah menandakan kawasan itu baru dilalui harimau be­lang. Sebelum itu, kami baru sahaja keluar dari kawasan kebun kelapa sawit itu pada pukul 4 petang.

“Mujur tidak terserempak dengan pak belang pada masa itu. Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri memberi respons pantas mengenai aduan ini selepas disiarkan Kosmo!,” katanya.

Semalam Kosmo! melaporkan lima penternak lembu di situ berada dalam ketakutan selepas kandang ternakan mereka di­serang seekor harimau belang.

Harimau jantan dewasa sama juga dipercayai pernah membaham empat ekor lembu penternak tersebut sepanjang tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan negeri, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof berkata, pihaknya telah memulakan siasatan dan akan meletakkan perangkap di lokasi strategik untuk meme­rangkap harimau tersebut.

“Kita sedang membuat strategi untuk mengambil tindakan susulan. Siasatan sedang dilakukan di kawasan kebun kelapa sawit itu dengan bantuan penternak,” katanya.

No comments:

Post a Comment