Translate

Thursday, February 18, 2021

12.8 juta dos vaksin Covid-19 diterima 26 Februari ini

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Negara dijangka bakal menerima fasa pertama bekalan vaksin Covid-19 yang dibeli daripada syarikat farmaseutikal, Pfizer pada 26 Februari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, 12.8 juta dos vaksin Covid-19 itu akan diagih-agihkan kepada semua negeri sebaik tiba di pintu masuk antarabangsa negara pada tarikh berkenaan.

Beliau berkata, proses pengagihan bekalan vaksin berkenaan ke negeri-negeri disasar dapat diselesaikan dalam tempoh selewat-lewatnya dua minggu.

"Kita akan agihkan vaksin (Covid-19) apabila sampai ke pintu masuk antarabangsa, mungkin dalam tempoh seminggu, dua sebelum disuntik kepada penerima," katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Terdahulu beliau ditemui selepas melakukan perjumpaan dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, keutamaan akan diberikan kepada petugas-petugas barisan hadapan, warga emas dan pesakit yang menghidap penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, diabetes dan penyakit penafasan kronik bagi suntikan vaksin Covid-19 fasa pertama terbabit.

Dalam perkembangan sama, Noor Hisham memberitahu, program Sukarelawan Kajian Klinikal Fasa Tiga Vaksin Covid-19 yang sedang berlangsung mendapat sambutan menggalakkan.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima banyak permohonan untuk menjadi sukarelawan melebihi keperluan cuma 3,000 orang.

"KKM terpaksa melakukan pemilihan berdasarkan kelayakan tertentu bagi menapis peserta.

"Setakat ini, lebih 1,000 sukarelawan sudah disuntik dalam kajian klinikal ini," katanya.

Kosmo! 28 November lalu melaporkan Malaysia akan mendapatkn 12.8 juta dos vaksin Covid-19 daripada Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini secara percuma.

No comments:

Post a Comment