Translate

Tuesday, February 16, 2021

'Saya murung sejak tak boleh memancing'

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki lumpuh tidak melepaskan kelonggaran diberi kerajaan untuk melepaskan gian memancing di muara Sungai Terengganu berhampiran Jambatan Angkat Kuala Terengganu kelmarin.

Mohd. Hasmizam Harun, 37, yang berkerusi roda berkata, dia keluar seawal pukul 7.30 pagi untuk memancing ke kawasan tersebut yang terletak kira-kira tiga kilometer (km) dari rumah di Batu Burok di sini.

"Saya memang minat memancing sejak kecil setelah didedahkan arwah ayah yang merupakan seorang nelayan.

"Sebaik sahaja kerajaan benarkan semula aktiviti memancing sejak semalam (kelmarin), saya tidak lepaskan peluang itu untuk melepaskan gian yang telah terpendam selama ini," katanya kepada Kosmo! di sini kelmarin.

Mohd. Hasmizam yang merupakan kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berkata, dia menghabiskan masa empat jam sehingga 11.30 pagi memancing di muara Sungai Terengganu.

Dia yang lumpuh akibat penyakit saraf yang dialami pada tahun 2011 berkata, walaupun gagal mendapat walaupun seekor ikan, dia puas kerana dapat kembali meneruskan minatnya itu.

"Saya gembira dapat bertemu dan berbual semula dengan kawan-kawan yang mempunyai minat memancing sama dengan saya.

"Ada di antara mereka berjaya menaikkan ikan talang bersaiz besar. Itu sudah cukup untuk menceriakan saya," katanya.

Mohd. Hasmizam berkata, baginya, memancing dapat membantunya  melepaskan tekanan hidup dan kerja.

Dia mengakui agak kemurungan dan kesepian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sejak bulan lalu berikutan larangan aktiviti memancing.

Dalam pada itu, Mohd. Hasmizam memberitahu kekurangan diri sebagai orang kelainan upaya (OKU) tidak pernah menghalang dirinya untuk terus memancing.

"Saya bersyukur memiliki rakan-rakan pemancing yang sentiasa sudi membantunya pada saat memerlukan," katanya.

No comments:

Post a Comment