Translate

Monday, February 8, 2021

Janda nakhoda ghaib ketika mandi air terjun

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

AIR Terjun Janda Mandi yang terletak di Bukit Gemuk, Kijal, Kemaman, Terengganu kian menjadi sebutan dalam kalangan pencinta aktiviti pendakian dan alam semula jadi tempatan sejak penghujung tahun lalu. 

Keunikan air terjun yang dianggarkan setinggi hampir 90 meter itu yang alirannya mengalir terus ke laut menerusi Pantai Teluk Kalong selain panorama indah berlatar belakang hutan, bukit dan laut sangat menggamit ramai untuk menerokainya. 

Begitupun, ia tidak sesuai sebagai lokasi perkelahan santai sekeluarga kerana bukanlah mudah untuk diterokai. Pendakian di laluan sejauh 900 meter yang sebahagian besarnya berbukit dan licin dan memakan masa purata 40 minit perlu dihadapi pengunjung sebelum dapat menikmati keindahannya.

Di sebalik keindahan, keunikan dan kesegaran Air Terjun Janda Mandi tersembunyi 1,001 cerita mitos dan mistik yang sebelum ini tersembunyi sebelum kawasan itu mula dikenali pada bulan Oktober lalu.

Berdasarkan cerita penduduk setempat, kawasan air terjun tersebut mendapat namanya daripada kisah sedih seorang balu nakhoda kapal yang telah singgah pada zaman dahulu.

Wanita jelita berkenaan dikatakan mengikut suaminya berlayar dengan kapal berkenaan yang sedang dalam perjalanan untuk tujuan perdagangan.

Sebagai pasangan yang baharu berkahwin, mereka sangat romantik dan sering bergurau-senda sepanjang dalam pelayaran tersebut.

Bagaimanapun malang tidak berbau, nakhoda itu telah tercucuk jarum yang dipegang isterinya secara tidak sengaja sewaktu berada di perairan Kemaman.

Kecederaan akibat tersusuk jarum itu kemudiannya telah membawa kepada kematian kepada nakhoda berkenaan.

Kematian peneraju berkenaan bukan sahaja menyedihkan wanita tersebut yang secara tiba-tiba kehilangan suami malah telah mengucar-kacirkan anak kapal perdagangan itu.

Tambah memburukkan keadaan, segelintir kelasi dikatakan berniat untuk mengambil kesempatan terhadap balu nakhoda yang jelita tersebut.

Wanita itu yang seakan-akan menyedari niat jahat orang bawahan suaminya telah meminta izin untuk kapal itu berlabuh di sebuah kawasan air terjun di Bukit Gemuk.

Dia kemudian berhajat untuk mandi di kawasan air terjun berkenaan yang menyebabkan segelintir anak kapal yang berniat jahat hanya menunggu masa untuk melempiaskan  nafsu serakah mereka.

Begitupun perkara mistik berlaku apabila balu nakhoda terbabit dikatakan tiba-tiba ghaib sewaktu sedang mandi di kawasan air terjun itu.

Anak kapal yang terpinga-pinga dengan keajaiban tersebut cuba mencari wanita tersebut di kawasan sekitar tetapi gagal.

Mereka akhirnya memutuskan untuk meneruskan pelayaran tanpa kelibat balu nakhoda terbabit.

Tanpa nakhoda, kapal dagangan itu begitupun gagal dikemudi dengan baik sehingga menyebabkannya diberitakan karam sewaktu berada di perairan Teluk Kuang berhampiran Pantai Telaga Simpul, Kemaman tidak lama kemudian.

Walaupun kisah lagenda itu dikatakan sudah berlalu sekian lama, ada segelintir penduduk setempat mendakwa pernah terserempak dengan kelibat wanita dipercayai balu nakhoda berkenaan sewaktu melalui kawasan air terjun tersebut.

Cerita lisan tersebut kemudiannya telah mencetuskan nama Air Terjun Janda Mandi yang diinspirasi daripada kisah wanita muda yang kematian suami tersebut.

Sehingga sekarang, penduduk setempat percaya ada pantang larang perlu dipatuhi pengunjung air terjun itu bagi mengelakkan sebarang kejadian aneh dan mistik apabila mengunjunginya.


No comments:

Post a Comment