Translate

Sunday, February 14, 2021

Hasilkan peranti elektronik PdPR lebih mampu milik

KUALA TERENGGANU - Kerajaan sedang berusaha untuk mengeluarkan peranti elektronik mampu milik bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) kepada pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya telah menjalin kerjasama pemain industri untuk menghasilkan peranti elektronik tersebut.

"Peranti elektronik tersebut akan dibina  hanya mengikut spesifikasi yang ditentukan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

"Ia khusus untuk tujuan PdPR. Harganya lebih mampu milik selain mengatasi masalah anak-anak leka dengan media sosial dan lain-lain sewaktu belajar," katanya ketika memantau harga di sebuah kedai komputer di sini semalam.

Rosol berkata, butiran terperinci tentang spesifikasi dan harga bagi peranti elektronik tersebut dijangka dimuktamadkan pada masa terdekat.

Dalam perkembangan sama, Rosol berkata, pemeriksaan setakat ini mendapati tiada unsur pencatutan walaupun berlaku kenaikan harga pada komputer dan tablet di pasaran sejak akhir-akhir ini.

"Ia merupakan hasil siasat terhadap 341 peniaga produk komputer, gajet dan peranti elektronik di seluruh negara yang telah diberi notis Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 sebelum ini.

"Berlaku kekurangan stok apabila banyak kilang terpaksa mengurangan pengeluaran," katanya.

No comments:

Post a Comment