Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Banjir yang melanda Pahang dijangka bakal berlarutan sekurang-kurangnya seminggu lagi ekoran Sungai Pahang masih berada pada paras bahaya.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Norhafifi Ismail berkata, pemantauan udara mendapati Sungai Pahang yang merupakan saliran utama di negeri tersebut masih jauh daripada paras normal.
"Biasanya kalau banjir, air akan memasuki sungai seterusnya menuju ke laut sebelum surut namun ia tidak berlaku di Pahang kali ini.
"Air Sungai Pahang masih melimpah menyebabkan air yang terdapat di kawasan-kawasan banjir tidak dapat surut kecuali diserap secara perlahan-lahan," katanya semasa melawat Bilik Gerakan Bencana Terengganu di sini semalam.
Norhafifi berkata, hujan yang masih berterusan di sebahagian kawasan terjejas banjir di Pahang juga menyebabkan Sungai Pahang sukar kembali ke paras normal pada masa terdekat.
Senario yang sedang berlaku di Pahang pada masa ini boleh dikatakan sebagai 'banjir termenung'.
"Kita berharap hujan (di Pahang) kembali reda pada minggu ini," katanya.
Di Sabah, bilangan mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada lebih 1,000 orang setakat semalam.
Ia melibatkan Beluran, Kita Marudu, Pitar dan Beafort.
Di Johor pula, jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 2,900 orang berbanding 3,314 orang pada pukul 8 pagi semalam.
Keadaan cuaca yang baik juga membolehkan tiga PPS ditutup semalam.
Kota Tinggi masih menjadi daerah paling terjejas diikuti Johor Bahru, Kluang, Segamat dan Pontian.
No comments:
Post a Comment