Translate

Saturday, February 27, 2021

Fenomena ombak besar sebagai pesta

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Polis kesal dengan sikap segelintir orang ramai yang sanggup merisikokan diri untuk mendekati Pantai Seberang Takir di sini semata-mata untuk melihat fenomema ombak besar.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, fenomena ombak besar yang berlaku sejak Khamis lalu bukanlah pesta tetapi sangat berbahaya untuk keselamatan awam.

Ujarnya, ombak besar disebabkan fenomena air pasang besar tersebut telah membawa sisa sampah, kayu, batu kecil dan pasir yang melimpah sehingga ke jalan raya.

"Saya nasihatkan orang ramai agar tidak menjadikan fenomena ini sebagai pesta, keluar beramai-ramai untuk melihat ombak besar kerana ia boleh membahayakan diri mereka.

"Polis akan mengambil langkah dengan membuat pemantauan dan rondaan di kawasan ini selama 24 jam sehingga cuaca reda," katanya ketika melakukan pemantauan di lokasi tersebut di sini semalam.

Abdul Rahim berkata, pihak polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk mengeluarkan kompaun terhadap individu yang masih berdegil.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, setakat ini hanya laluan dari arah Teluk Ketapang yang terjejas dengan fenomena ombak besar telah ditutup sejak pukul 10 malam, Khamis lalu.

"Pengguna dari arah muara utara Kuala Terengganu akan dilencongkan ke Jalan Kampung Seberang Takir di sini bagi membolehkan mereka meneruskan ke destinasi masing-masing di daerah ini," ujarnya. 

Kosmo! semalam melaporkan Pantai Seberang Takir antara lokasi pesisir pantai Terengganu terjejas teruk dengan fenomena air pasang besar yang membawa ombak setinggi sehingga 2.7 meter.

No comments:

Post a Comment