Translate

Tuesday, February 23, 2021

SMK Bukit Besar diarah tutup

KUALA TERENGGANU - Sebuah lagi sekolah di Terengganu diarahkan ditutup berikutan penularan pandemik Covid-19 semalam.

Setakat ini, 16 sekolah yang kebanyakannya terletak di bandar raya ini telah diarahkan ditutup oleh Jabatan Kesihatan negeri berikutan penularan Covid-19 sejak 22 Januari lalu.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar di sini diarah tutup selama 14 hari sehingga 10 Februari depan.

"Penutupan dilakukan setelah seorang guru dan pelajar sekolah itu telah disahkan dijangkiti Covid-19.

"Arahan itu dibuat mengikut Seksyen 18 (1), (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit 1988. Kerja-kerja pembasmian kuman perlu dilakukan sepanjang tempoh tersebut," katanya di sini semalam.

Difahamkan semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tinggal di asrama sekolah berkenaan dan guru terlibat telah menjalani ujian saringan Covid-19.

Mereka juga dikuarantin di dalam asrama dan tidak dibenarkan keluar sepanjang tempoh 14 hari berkenaan.

Kosmo! Ahad 24 Januari lalu melaporkan Sultan Sultan Sulaiman I dan SK Paloh di sini diarahkan ditutup selama 14 hari sehingga 5 Februari depan selepas lapan guru dijangkiti Covid-19.

Sementara itu, Nor Azimi berkata, seramai 48 petugas kesihatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini disahkan dijangkiti Covid-19 dan kesemua petugas kesihatan yang terkesan telah diasingkan dan sedang menerima rawatan.

"Kontak rapat bagi setiap kes juga telah disaring dan diasingkan. Siasatan sedang dilakukan untuk mengenal pasti punca jangkitan," katanya.

No comments:

Post a Comment