Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Hukuman buang daerah pada tiga tahun lalu telah mengubah kehidupan seorang bekas gangster.
Muhammad Danial Vanathiah, 30, yang berazam untuk membaiki diri sebaik menerima hukuman itu pada tahun 2017 telah mendapat hidayah untuk memeluk Islam kira-kira setahun kemudian.
Lebih indah, dia memulakan tahun 2021 dengan status suami apabila melangsungkan pernikahan dengan gadis pilihan, Nur Hamidah, 26, di Masjid Al-Hijrah, Padang Hiliran di sini semalam.
Pasangan itu selamat diijabkabul dengan mas kahwin RM200 mengikut prosedur operasi standard norma baharu oleh Pendaftar Nikah, Cerai, Rujuk Kuala Terengganu, Sukri Faiz Jusoh pada pukul 8.57 pagi.
Muhammad Danial Vanathiah yang kini bebas daripada hukuman buang daerah tersebut baru-baru ini bersyukur perjalanan hidupnya kini lebih tenang dan mudah hasil bantuan dan dorongan daripada Unit Dakwah Saudara Kita Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
"Sewaktu masih berada dalam kancah gangster, hati saya sudah terdetik untuk masuk (memeluk) Islam supaya dapat betul-betul berubah.
"Sebaik dihukum buang daerah di Kuala Terengganu, saya nekad pergi ke Maidam dengan diiringi polis untuk memeluk Islam pada 25 Julai 2018," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Katanya, Unit Saudara Baru Maidam banyak membantunya mendalami Islam dan berubah ke arah yang lebih baik.
Tambahnya, urusan pernikahannya dengan Nur Hamidah juga banyak dibantu oleh pegawai unit tersebut memandangkan keluarganya dan isteri yang berasal dari Selangor tidak dapat hadir berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.
Sementara itu, Nur Hamidah yang juga anak seorang mualaf tidak menyangka bertemu jodoh dengan seorang lelaki mualaf.
"Kami berkenalan menerusi aplikasi WhatsApp pada dua tahun lalu. Waktu itu dia masih belum memeluk Islam tetapi sudah menyatakan hasrat ke arah itu," katanya.
Dalam pada itu, jurucakap Unit Saudara Baru Maidam, Muhammad Syafiq Suresh berkata, selain membantu menguruskan perkahwinan, pihaknya menghulurkan bantuan sebanyak RM2,000 kepada Muhammad Danial Vanathiah.
No comments:
Post a Comment