Translate

Monday, February 15, 2021

Lindungi kelangsungan ekonomi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menjangkakan kira-kira 300,000 pekerja asing dalam sektor peladangan dan per kayuan di negara ini bakal menerima manfaat daripada program pemberian vaksin Covid-19 percuma kepada warganegara asing.

 Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, sektor komoditi merupakan antara segmen ekonomi negara yang mempunyai paling ramai tenaga asing.

 “Sebahagian besar daripada warga asing yang bekerja di sektor komoditi berada di segmen peladangan kelapa sawit iaitu lebih 250,000 orang.

 “Komoditi memberi sumbangan besar kepada pendapatan negara dengan sektor kelapa sawit sahaja menjana RM72.8 bilion pada tahun 2020,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni beberapa penduduk kaum Cina sempena Tahun Baru Cina di Taman Wakaf Tembusu di sini semalam.

 Kosmo! Jumaat lalu melaporkan kerajaan bersetuju untuk memberikan vaksin secara percuma kepada warga asing yang menetap di negara ini. 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keputusan itu diambil selepas mengambil kira faktor rekod jumlah pesakit yang ramai menerusi kewujudan kluster dalam sektor peladangan, pembinaan dan pembuatan. 

Mohd. Khairuddin berkata, keputusan kerajaan tersebut merupakan serampang dua mata demi keselamatan rakyat tempatan sekali gus memastikan kelangsungan sektor ekonomi yang masih bergantung terhadap tenaga asing. 

Jelas beliau, Kabinet bimbang sekiranya warga asing terlibat tidak diberikan vaksin, ia mungkin menjadi punca merebaknya Covid-19 dalam kalangan penduduk tempatan terutama yang bekerja dalam sektor sama. 

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Khairuddin berkata, kementerian telah mengambil langkah untuk me ngurangkan kebergantungan tenaga asing dalam sektor peladangan tetapi usaha itu masih kurang mendapat sambutan dalam kalangan rakyat tempatan. 

“Kita menawarkan gaji bulanan menjangkau RM3,000 selain (faedah) penginapan rumah kelamin dan potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja tetapi sambutan dalam kalangan rakyat tempatan masih suam-suam kuku. 

“Walaupun kerja di sektor peladangan kelapa sawit dianggap sebagai 3D (Bahaya, Susah dan Kotor) tetapi saya percaya ramai anak muda yang mempunyai pelbagai tahap akademik dan kemahiran boleh mengambil peluang ini,” katanya.

 

No comments:

Post a Comment