Translate

Friday, February 19, 2021

Dua maut kereta rempuh pokok

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA NERUS – Dua lelaki termasuk seorang remaja maut selepas kereta jenis Proton Persona yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dalam kejadian di Jalan Merang berhampiran Kampung Mengabang Panjang di sini kelmarin. 

Kejadian pada pukul 8 malam itu mengakibatkan ejen insurans, Ahmad Khamirul Deraman, 34, dan rakannya, Syadan Sa putra Evide, 18, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, sewaktu kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan ke Gong Badak di sini dari Merang, Setiu.

 “Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Persona yang dinaiki kedua-dua mangsa dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan lain di hadapannya tetapi gagal. 

“Kereta dinaiki mereka kemudian telah memasuki semula ke laluan asal tetapi telah berlanggar dengan sebuah kereta Honda Civic yang sebelum itu berada di belakangnya,” katanya di sini semalam. 

Abdul Rahim berkata, impak pertembungan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok di tepi jalan. 

Beliau berkata, pemandu kereta Honda Civic yang berusia 42 tahun cedera ringan. “Mayat Ahmad Khamirul dan Syadan Saputra telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk bedah disiasat,” katanya. 

Pemandu Honda Civic turut dirawat di hospital sama. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment