Translate

Tuesday, February 23, 2021

Agihan bakul makanan kepada penduduk PKPD Pasir Akar

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Seramai 467 keluarga di mukim Pasir Akar di sini yang terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak Ahad lalu menerima bakul makanan yang diagihkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu.

Pengarah JKM negeri, Zuhami Omar berkata, pengagihan bakul makanan itu melibatkan 2,155 penduduk yang menetap di kawasan terlibat iaitu Kampung Darau, Kampung Padang Buloh, Kampung Awek dan Kampung Lepan Akar di sini.

“Setiap bakul makanan tersebut mengandungi keperluan asas seperti beras, telur, tin sardin, minyak masak, ayam, daging dan ikan segar.

“Pengagihan bakul makanan itu dilakukan terhadap keluarga terlibat di PKPD Pasir Akar pada setiap tiga atau empat hari,” katanya di sini hari ini.

Kosmo! Online 12 Februari lalu melaporkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD di Kampung Darau-Awek, Kampung Padang Baloh dan Kampung Lepan Kejor di mukim Pasir Akar selama 14 hari sehingga akhir bulan ini.

Zuhaimi berkata, proses penghantar bakul makanan dan sebarang bantuan lain kepada penduduk terlibat hanya akan dilakukan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Tambah beliau, walaupun mendapat permohonan daripada badan bukan kerajaan (NGO) untuk turut membantu, ia tidak dapat dipenuhi kerana PKPD merupakan kawasan larangan.

“Begitupun sekiranya mahu menghulurkan sebarang bantuan kepada penduduk mukim Pasir Akar yang terjejas dengan PKPD, hantar sahaja di Dewan Terbuka Idris Jusoh Kampung Darau di sini.

“Penghantaran bantuan itu akan diuruskan pihak berkenaan,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment