Translate

Saturday, February 13, 2021

Pintar jadi hub PdPR

KUALA TERENGGANU -  Kerajaan negeri Terengganu mengambil inisiatif menjadikan Pusat Internet Akses Rakyat (Pintar) sebagai hub pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bagi murid dan pelajar di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa  Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, langkah tersebut bagi membantu murid dan pelajar di negeri tersebut yang mempunyai masalah gajet mahu pun liputan Internet menjalani pembelajaran secara PdPR dengan selesa.

Beliau berkata, setakat ini, 20 daripada 37 Pintar yang berada di setiap Parlimen di Terengganu telah bersedia untuk menerima kehadiran murid dan pelajar terbabit.

"Antara Pintar terlibat buat fasa pertama ini Kuala Besut, Jertih, Permaisuri, Batu Rakit, Durian Burung, Paya Keladi, Paka, Kuala Berang, Rhu Rendang, Manir, Alor Limbat dan Teluk Pasu.

"Kesemua pusat berkenaan beroperasi pada pukul 8 pagi hingga 5 petang dan kemasukan memerlukan temujanji awal," katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Ariffin berkata, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) awal yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) hanya membenarkan lima murid dan pelajar menggunakan kemudahan komputer di sesebuah Pintar pada satu-satu masa.

Beliau berkata, murid dan pelajar yang mempunyai gajet sendiri juga digalakkan membawanya ke Pintar bagi menggunakan kemudahan Internet.

"Selain Pintar, kerajaan negeri Terengganu juga menjalin kerjasama daripada Suruhanjaya Komuniti dan Multimedia (SKMM) untuk membenarkan 64 Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negeri ini bagi kegunaan murid dan pelajar bagi PdPR.

"Semua PIK masing-masing menyediakan 20 komputer dan dibuka pada pukul 9 pagi hingga 6 petang kecuali cuti umum," katanya.

Ariffin berkata, kerajaan negeri Terengganu menerusi SKMM sedang berusaha untuk menarik taraf sebahagian menara telekomunikasi di negeri itu dengan capaian 4G.

Kosmo! semalam melaporkan liputan talian telekomunikasi yang terlalu lemah menyebabkan kira-kira 150 pelajar sekolah dan penuntut universiti di Kampung Payong, Setiu terpaksa belajar di sebuah bangsal usang di dalam ke kebun kelapa sawit.

No comments:

Post a Comment