Translate

Saturday, February 27, 2021

Pasangan tunang disyaki pengedar dadah

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Hasrat pasangan tunang untuk melangsungkan perkahwinan tidak kesampaian apabila mereka ditahan bersama dadah bernilai RM565,150 di Kampung Jambu Bongkok, Merchang dekat sini pada Sabtu lalu.

Dalam serbuan pada pukul 1 pagi itu berjaya merampas pelbagai jenis dadah iaitu 2051.9 gram syabu, 1,096.8 gram heroin, 899 gram pil kuda dan 4.5 liter ubat batuk yang boleh boleh diedarkan kepada 24,400 penagih seluruh negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu, Superintendan Tium Ming Kung berkata, suspek pertama yang merupakan lelaki berusia 22 tahun ditahan sewaktu dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan berhampiran rumah sewanya.

“Pemeriksaan pada bungkusan yang sedang dipegangnya menjumpai sebahagian dadah sebelum dia kemudiannya membawa anggota polis ke sebuah rumah berhampiran.

“Serbuan di rumah yang baru sebulan disewa itu berjaya memberkas seorang wanita berusia 21 tahun yang juga tunang suspek pertama,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini hari ini.

Ming Kung berkata, kedua-dua supek yang dipercayai baru aktif mengedar dadah pada hujung tahun lalu kemudiannya menunjukkan lokasi mereka menyorokkan dadah di belakang rumah sewa tersebut.

Ujarnya, dadah jenis syabu itu ditanam pasangan tunang terbabit di dalam empat lubang di belakang rumah sewa itu. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment