Translate

Friday, February 5, 2021

Lima premis perniagaan gagal patuh SOP dikompaun

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Lima premis perniagaan di bandar raya ini dan Kemaman telah dikompaun dalam operasi semalam setelah didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, kesemua pengusaha premis perniagaan itu masing-masing dikenakan kompaun RM1,000.

“Lima premis perniagaan itu meliputi tiga kedai menjual aksesori telefon dan masing-masing satu kedai karpet dan pusat pemborong.

“Pemeriksaan di bandar raya ini berjaya menemukan dua premis perniagaan yang melakukan kesalahan itu manakala dua di Kemaman,” katanya di sini hari ini.

Saharuddin berkata, kesalahan yang dikesan ialah kegagalan menyediakan peralatan untuk merekod butiran diri dan peralatan suhu serta tidak merekod maklumat pelanggan secara manual atau melalui aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata, kesemua pengusaha premis perniagaan terbabit dikompaun mengikut Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021

“Sehubungan itu, saya menggesa pengusaha premis perniagaan dan orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP bagi membendung penularan wabak Covid-19,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment