Translate

Thursday, February 25, 2021

18,743 calon SPM di Terengganu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Seramai 18,743 calon menjalani hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini dengan norma baharu.

Pengarah Pendidikan Terengganu, Salim Ab. Ghani berkata, dia termasuk 899 calon swasta yang menduduki peperiksaan itu di 169 pusat di seluruh negeri ini.

“Perjalanan hari pertama SPM dengan norma baharu berjalan lancar. Semua 169 pusat peperiksaan telah disanitasi sebelum ini.

“Bilangan pengawas peperiksaan juga telah ditambah kepada 1,407 orang berikutan pembesaran pusat pemeriksaan kerana perlu menjaga jarak fizikal,” katanya ketika ditemui selepas memantau perjalanan hari pertama SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Haji Abbas, Tok Jiring di sini hari ini.

Sementara itu, seorang ibu, Mastura Mohamed, 51, sanggup merentas sejauh kira-kira 22 kilometer dari Bukit Payung, Marang untuk memberi sokongan kepada anak lelakinya yang mengambil peperiksaan SPM di SMKA Dato’ Haji Abbas.

Begitupun, dia yang merupakan seorang pembantu tadbir sebuah agensi kerajaan hanya dibenarkan menunggu di luar pagar sekolah.

“Anak kedua saya, Adib Alaudin Kamarulzaman, 17, yang menghidap asma pernah dikuarantin kerana disyaki menghidap Covid-19 pada awal Februari lalu tetapi syukur negatif.

“Sudah lebih sebulan saya tidak berjumpa anak yang tinggal di asrama sekolah. Walaupun hanya berada di luar, ia cukup membuat saya lega dan berdoa urusan anak saya dan calon SPM lain dipermudahkan,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment