SETIU – Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna, Nissan Grand Livina yang terbabas selepas dikejar kereta peronda polis membongkar aktiviti penyelewengan minyak masak peket bersubsidi di Calok, di sini semalam.
Pemeriksaan di dalam kenderaan dipandu seorang lelaki berusia 50-an itu menemukan 442 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Mohd. Mufsi Lat berkata, pada mulanya, kenderaan Nissan Grand Livina dipandu suspek tersebut dikesan berada dalam kenderaan mencurigakan oleh sepasukan polis yang sedang membuat rondaan di lokasi kejadian.
“Suspek yang menyedari kenderaannya sedang diekori kereta peronda polis telah bertindak memecut laju bagi melepaskan diri.
“Kenderaan yang dikejar kereta peronda polis itu akhirnya hilang kawalam lalu terbabas di Chalok, di sini,” katanya di sini hari ini.
Ia kejayaan kedua dalam tempoh dua hari selepas KPDN berjaya mematahkan aktiviti menyelewengan minyak masak paket bersubsidi di Bukit Diman, Ajil, Hulu Terengganu dekat sini pada Ahad lalu.
Dalam serbuan 9.30 pagi itu, sebanyak 3.04 tan barang kawalan tersebut ditemukan di dalam sebuah lori kontena yang diletakkan di pekarangan sebuah rumah di lokasi kejadian.
Mohd. Mufsi berkata, Polis Diraja Malaysia kemudiannya menyerahkan sebanyak 442 kg minyak masak paket bersubsidi disyaki diseleweng itu dijumpai di dalam kenderaan itu kepada Pejabat KPDN Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

No comments:
Post a Comment