Oleh MOHD. AZLI ADLAN
HULU TERENGGANU – Seorang warga emas berusia 63 tahun yang berkerusi roda dan memakai lampin pakai buang antara 3,229 warga emas dikesan masih terlibat dalam penyalahgunaan dadah biarpun sudah berusia 60 tahun ke atas pada separuh pertama tahun ini.
Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Malaysia (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, dia yang direkodkan sebagai penagih dadah tertua ditahan dalam operasi di Besut dekat sini Jun lalu.
Beliau berkata, sewaktu ditahan, warga emas itu mengaku gagal mengatasi ketagihan pil kuda sejak terjebak dengan dadah tersebut kira-kira 35 tahun lalu.
“Penagih dalam kalangan mereka berusia 60 tahun ke atas ini merangkumi 2.5 peratus daripada keseluruhan kira-kira 130,000 individu dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dadah di negara ini sehingga Jun lalu.
“Begitupun, ia menurun sedikit berbanding 4,311 orang dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya selepas merasmikan pejabat AADK Hulu Terengganu, di sini semalam.
Ruslin berkata, belia berusia 31 hingga 59 tahun kekal golongan tertinggi terlibat dalam penyalahgunaan dadah di negara ini iaitu 92,590 orang.
Beliau berkata, ia merangkumi 71.1 peratus daripada keseluruhan penagih dadah di negara ini. “Penggunaan dadah sintetik seperti syabu, pil kuda dan ekstasi agak membimbangkan dengan sudah melebihi 73 peratus.
“Begitupun kadar penagihan dadah di negara ini masih terkawal dengan sedikit menurun pada suku kedua tahun ini berbanding 134,000 orang dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya.
Katanya, Terengganu negeri paling tinggi dalam penyalahgunaan dadah di negara ini mengikut kadar nisbah iaitu 735 orang bagi setiap 100,000 penduduk.
Dalam pada itu, beliau berkata, pejabat AADK Hulu Terengganu turut dilengkapi kemudahan lokap wanita dan lelaki yang pertama di negeri ini.
“Selain itu, ia juga berfungsi sebagai pusat pemulihan dalam komuniti untuk klien (dalam kalangan penagih dadah),” katanya.

No comments:
Post a Comment