MARANG – Sepasang suami isteri yang mempunyai dua anak orang kelainan upaya (OKU) bersyukur menerima rumah baharu sumbangan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM).
Syamsiah Osman, 43, berkata, pemberian rumah di bawah program Baiti Jannati dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) begitu bererti buat mereka empat beranak.
Dua anak Syamsiah iaitu Mohammad Daniel Hakimi Mukriz, 15, dan Muhammad Raihan Muazzam, 4, menghidap celebral palsy sejak lahir.
“Kami masih berduka selepas kehilangan anak kedua, Mohammad Daniel Mikail Zikiir yang berusia sembilan tahun akibat penyakit sama tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Mengkuang di sini semalam.
Terdahulu, wanita itu menerima rumah Baiti Janati yang diserahkan Ahli Lembaga Amanah YDSM, Datuk Mohd. Fadzli Yusof.
Syamsiah yang merupakan suri rumah berkata, sebelum ini, dia menumpang di rumah ibu angkatnya yang terletak 200 meter dari rumah baharunya.
Suami Syamsiah, Mansor Said, 45, menyara keluarga dengan mengambil upah mengecat kenderaan di samping berniaga pakaian terpakai.
“Kami bersyukur kerana rumah ini mesra OKU. Anak-anak memerlukan penjagaan rapi termasuk minum susu khas dengan menggunakan tiub,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Fadzli berkata, program kebajikan yang menyasarkan golongan asnaf Terengganu itu mendapat kerjasama TNB yang membiayai kos pembinaan menerusi zakat.
Setakat ini, sebanyak 30 rumah bernilai RM50,000 sebuah dibina menerusi kerjasama terbabit sejak tahun 2019.
“Rumah keluarga (Syamsiah) ini istimewa kerana bilik tidur untuk dua anak OKU mereka telah diubah suai demi keselesaan bersama.
“Selain itu, keluarga tersebut turut menerima kelengkapan asas seperti katil, sofa, peralatan bilik air dan peti sejuk atau mesin basuh,” katanya.
No comments:
Post a Comment