Translate

Monday, June 22, 2026

Berkorban jaga lima anak yatim piatu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Seorang suri rumah tiga anak berkorban memikul amanah menjaga lima anak adik perempuannya yang meninggal dunia akibat kanser tulang, dua tahun lalu. 

Rohana Abd. Rahim, 43, berkata, dia mengambil tanggungjawab menjaga lima anak saudaranya iaitu Mohammad Danial Haikal Rosli, 19, Nur Damia Aliesya, 16, Nur Dhia Izzara, 13, Nur Dina Raisya, 9, dan Muhammad Darwish Adeeb, 4, setelah bapa mereka meninggal dunia enam bulan selepas kematian adiknya. 

“Ibu mereka, Rohani meninggal dunia akibat kanser tulang tahap empat pada 17 Jun 2024 pada usia 39 tahun. 

“Ujian terus menimpa anakanak saudara saya apabila bapa mereka, Rosli Abdullah pula meninggal dunia akibat serangan jantung pada 31 Disember tahun sama pada usia 41 tahun,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Gong Tengah, Kuala Besut di sini semalam. 

Terdahulu mereka disantuni Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari yang turut menghulurkan bantuan kebajikan dan bantuan sara hidup. 

Rohana berkata, Rohani yang juga adik kelimanya daripada sembilan beradik hanya mengetahui penyakit dideritai kurang dua bulan sebelum meninggal dunia dan sempat meninggalkan wasiat agar menjaga kebajikan lima anaknya.

 “Suami Rohani, Rosli yang juga bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mungkin terkejut dengan pemergian tidak disangka adik terkena serangan jantung membawa kepada kematiannya kira-kira enam bulan kemudian,” katanya. 

Rohana berkata, dua adik perempuannya iaitu Rosnani, 39, dan Roslizawati, 40, yang tinggal berdekatan dengannya juga masing-masing membantu menjaga Dina dan Darwish. 

Dia yang bergantung dengan pendapatan suaminya yang juga pengusaha resort di Pulau Perhentian berkata, biarpun begitu, kesemua kelima-lima anak Rohani akan berkumpul di rumahnya pada setiap hujung minggu dan cuti persekolahan. 

“Saya layan mereka seperti anak kandung, mereka bukan siapa-siapa, darah daging saya juga. Buat masa ini, anak-anak saudara itu menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM800 sebulan,” katanya.

No comments:

Post a Comment