SERAMAI 178 orang pelajar semester akhir Kolej Teknologi Tinggi Jabatan Tenaga Manusia (Adtec JTM) Kuala Terengganu diraikan dalam Majlis Apresiasi Sesi 1/2026 baru-baru ini.
Pengarah Adtec JTM Kuala Terengganu, Ts. Wan Ahmad Jailani Wan Ngah berkata, majlis tersebut sebagai menghargai komitmen dan dedikasi pelajar-pelajar terbabit yang bakal menamatkan pengajian.
“Mereka telah mengharungi pelbagai cabaran sepanjang tempoh empat semester bergelar pelajar di Adtec JTM Kuala Terengganu.
“Segala ilmu, kemahiran dan latihan dalam bidang Pendidikan an Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diperolehi mereka berguna untuk melangkah ke alam pekerjaan tidak lama lagi," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Majlis Apresiasi Sesi 1/2026 yang diadakan di Hotel Permai, Kuala Terengganu tersebut turut dihadiri 35 tenaga pengajar Adtec JTM Kuala Terengganu.
Wan Ahmad Jailaini berkata, anugerah Tokoh Pelajar telah dinobatkan kepada Ahmad Aidil Junaidi merupakan pelajar program Sijil Teknologi Binaan (Sivil dan Struktur).
Menurut beliau, selain itu, sembilan pelajar termasuk Ahmad Aidil turut dianugerahkan sebagai Pelajar Terbaik bagi jurusan teknikal masing-masing.
"Mereka ialah Azri Aiman Mohd. Fadzil Al-Husaini (Diploma Teknologi Elektrik Kuasa); Muhammad Adam Farris Aiman Abdullah (Sijil Teknologi Pembuatan Pemesinan); Muhammad Afi Amsyar Muhammad Ali (Sijil Teknologi Penyelenggaraan Mekanikal) dan
Muhammad Danial Kamrul Azman (Sijil Teknologi Elektrik Pendawaian Tiga Fasa).
"Selain itu, anugerah sama diberikan kepada Muhammad Hakim Mohd. Mustaffa (Sijil Teknologi Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara); Nurunnabillah Abdul Halim (Sijil Teknologi Komputer Sistem); Khairul Azman Rosli (Sijil Teknologi Binaan Paip dan Sanitari) dan
Muhammad Adam Idham Mohd. Shukri (Sijil Teknologi Binaan Berasaskan Kayu)," katanya.
Dalam perkembangan sama, Wan Ahmad Jailaini menyeru pelajar semester akhir tersebut agar memanfaatkan segala ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperolehi untuk membentuk diri terus maju dalam alam pekerjaan.
Beliau berkata, lepasan Adtec JKM perlu menempatkan diri sebagai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang aset bernilai kepada industri dan negara.
"Dalam kehidupan apabila melangkah alam pekerjaan nanti, janganlah mengejar kemewahan semata-mata.
"Sebaliknya carilah keberkatan yang membawa kepada ketenangan dan kesejahteraan sejati," ujarnya.
Wan Ahmad Jailaini berkata, ia sejajar motto Adtec JKM Kuala Terengganu iaitu Memperkasakan Kemahiran, Menyemarakkan Masa Hadapan.
Dalam pada itu, beliau berkata, Adtec Kuala Terengganu merupakan salah satu daripada institusi
TVET yang semakin mendapat tempat dalam kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Alhamdulillah kebolehpercayaan terhadap institusi TVET dalam kalangan masyarakat semakin membaik.
"Buat masa,ini, kadar kebolehpasaran lepasan Adtec dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) seluruh negara mencapai tahap 92 peratus," katanya.



No comments:
Post a Comment