Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA NERUS – Perjalanan seorang pegawai Maritim Malaysia (APMM) membawa anak sulungnya ke kelas mengaji berakhir tragedi apabila dua beranak itu maut selepas motosikal Honda Vario dinaiki mereka dirempuh sebuah Proton Preve di persimpangan lampu isyarat Gong Badak berhampiran Taman Perumahan Mega di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 7 malam itu, Md. Firdaus Omar, 35 yang berpangkat Leftenan Maritim dan anak lelakinya, Muhammad Lutfil Al-Hadi, 8, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd. Razak Hasan berkata, sewaktu kejadian, Md. Firdaus yang bertugas di Pejabat Maritim Terengganu di sini difahamkan dalam perjalanan untuk menghantar anaknya itu ke kelas mengaji tidak jauh dari rumah mereka di Gong Badak di sini.
“Sewaktu kejadian, motosikal dinaiki dua beranak itu dirempuh sebuah kereta Proton Preve sewaktu keluar dari persimpangan lampu isyarat berkenaan.
“Impak pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak sejauh beberapa meter,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Abd. Razak berkata, mayat Md. Firdaus dan anaknya, Muhammad Lutfil Al-Hadi telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat.
Beliau berkata, pemandu kereta Proton Preve berusia 38 tahun yang cedera ringan juga dirawat di unit kecemasan hospital sama. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment