Translate

Wednesday, September 30, 2020

Penipuan online naik 80 peratus

 

KUALA TERENGGANU - Aduan melibatkan penipuan transaksi online di Terengganu meningkat lebih 80 peratus sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, 

pihaknya menerima 185 aduan berhubung penipuan transaksi online sepanjang tempoh PKP berkenaan.

"Ia 80.09 peratus daripada keseluruhan 231 aduan berhubung kes sama yang diterima KPDNHEP Terengganu sejak 1 Januari lalu.

"Antara aduan tertinggi yang diterima ialah pengguna tidak menerima barangan atau perkhidmatan ditawarkan penjual dalam talian berkenaaan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mohd. Saharudin berkata, pihaknya turut menerima aduan pengguna merungut produk atau perkhidmatan diterima secara online tidak sama seperti yang diiklankan.

Sehubungan itu, beliau menasihat pengguna agar lebih berhati-hati dengan hanya berurusan di platform e-dagang yang dipercayai.

"Sebolehnya kita hanya berurusan dengan peniaga online yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan memiliki logo Biztrust.

"Elak daripada melakukan urus niaga termasuk transaksi bayaran di luar saluran disediakan penyedia platform e-dagang berkenaan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Saharudin menggalakkan pengguna melakukan semakan awal terhadap nombor akaun dan telefon peniaga meragukan di laman web, http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi 'Semak Mule CCID' di Google Play Store.

Tambah beliau, peniaga online yang melanggari Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 boleh di denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun bagi pesalah individu jika sabit kesalahan.

"Bagi kesalahan melibatkan syarikat pula, denda sehingga RM100,000 jika sabit kesalahan.

"KPDNHEP Terengganu telah melakukan 519 tindakan penguatkuasaan melibatkan rampasan bernilai lebih RM294,000 selain mengeluarkan kompaun berjumlah RM134,650 atas pelbagai kesalahan kepenggunaan sejak awal tahun ini," katanya.


No comments:

Post a Comment