Translate

Saturday, September 12, 2020

Polis buru dua suspek

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN  - Dua lelaki yang disyaki aktif dalam kegiatan melarikan tabung beberapa masjid di daerah ini kini diburu polis.

Setakat ini, kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an dipercayai telah mencuri tabung di sekurang-kurangnya tiga masjid di daerah ini melibatkan kerugian lebih kurang RM2,000.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, tiga masjid terlibat ialah Masjid Sultan Ahmad, Chukai serta Masjid Labohan dan Masjid Kampung Gelugor, Kerteh di sini.

"Dua suspek yang dipercayai orang tempatan itu turut disyaki melarikan sebuah televisyen yang ditempatkan di Masjid Kampung Gelugor dalam kejadian baru-baru ini.

"Mereka juga dipercayai menaiki kereta jenis Perodua Viva yang menggunakan nombor pendaftaran palsu sewaktu melakukan perbuatan jenayah terbabit di ketiga-tiga masjid berkenaan," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Hanyan berkata, siasatan awal mendapati modus operandi dua suspek itu ialah akan memasuki masjid sasaran sewaktu tiada jemaah di rumah ibadat itu pada awal pagi.

Katanya, salah seorang daripada suspek akan memecahkan tabung masjid sebelum melarikan diri dengan kereta Perodua Viva dipandu rakan sejenayahnya yang sedia menunggu di luar kawasan masjid.

"Kelibat penjenayah ini telah dirakam dalam televisyen litar tertutup yang terdapat pada dua daripada tiga masjid yang telah dipecah masuk berkenaan.

"Orang ramai yang mengenali suspek atau mempunyai maklumat berhubung kes kecurian itu boleh menghubungi  Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah Kemaman di talian 098592222 untuk membantu siasatan," katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.


No comments:

Post a Comment