Translate

Thursday, September 10, 2020

APM mahu miliki hospital sendiri

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Angkatan Pertahanan Awam (APM) berhasrat untuk memiliki hospital sendiri yang berfungsi seperti Hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, cadangan pembinaan Hospital APM tersebut sebagai penghargaan kepada 2.2 juta sukarelawan agensi itu yang komited menabur bakti kepada masyarakat negara ini.

"Cadangan pembinaan hospital ini menunjukkan kepekaan terhadap sumbangan sukarelawan APM namun ia masih tertakluk kepada kelulusan Kabinet.

"Sehubungan itu, saya minta pengurusan APM agar segera menyiapkan kertas cadangan pembinaan Hospital APM untuk dibentangkan kepada Kabinet," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan warga APM Terengganu di sini kelmarin.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab dan Pengarah APM Terengganu, Che Adam Ab. Rahman.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Redzuan memberitahu APM akan menerima aset baharu iaitu 30 buah kenderaan pacuan empat roda sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh tidak lama lagi.

Beliau berkata, keutamaan pengagihan kenderaan pacuan empat roda itu akan diberikan kepada negeri-negeri yang kerap dilanda banjir seperti Terengganu, Kelantan, Kedah dan Sabah.

"Pembelian aset baharu, kenderaan pacuan empat roda yang menelan belanja kira-kira RM4.1 juta tersebut kini dalam proses perolehan dan dijangka akan diserahkan kepada APM sebelum musim tengkujuh ini.

"Ia merupakan sebahagian daripada 114 buah kenderaan pacuan empat roda yang dicadang dimiliki APM sebagai aset tambahan memperkasa agensi itu dan pembeliannya akan dilakukan secara berperingkat," katanya.

No comments:

Post a Comment