Translate

Sunday, September 13, 2020

TFC I yakin cabar kejuaraan

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TERENGGANU FC I (TFC I) semakin menunjukkan karakter sebenar untuk mencabar kejuaraan Liga Super apabila garang membelasah Sabah 4-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu kelmarin.

Kemenangan bergaya itu membolehkan skuad Penyu melonjak ke tangga kedua liga dengan 10 mata dan hanya dipisahkan tiga mata di belakang pendahulu yang juga juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Pengendali TFC I, Mohd. Nafuzi Zain berkata,   beliau gembira dan berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang berjaya merealisasikan misi memburu tiga mata penting pada aksi dengan Sabah berkenaan.

"Kita amat memerlukan tiga mata memandangkan jadual Liga Super kini amat padat dengan berlangsung secara satu pusingan sahaja.

"Apa pun saya harus memuji anak buah saya yang telah menunjukkan peningkatan ketara berbanding aksi-aksi awal sebelum liga dihentikan sementara ekoran penularan pandemik Covid-19," katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Pada aksi di laman sendiri itu, skuad Penyu gagah membenam cabaran skuad Badak menerusi empat jaringan oleh Dominique Da Sylva pada minit ke-12, Sanjar Shaakhmedov pada (m-43 dan 71) dan Muhammad Faris Ramli (m-84).

Mohd. Nafuzi yang juga bekas penyerang Terengganu berkata, perkara yang paling disenanginta pada aksi malam kelmarin ialah kejayaan anak buahnya bukan sahaja mampu meledak banyak gol malah mempertahankan kubu sendiri daripada dibolosi.

Beliau berkata, skuadnya kendaliannya juga berjaya mengelak pintu gawang daripada dibocori pada perlawanan menentang Petaling Jaya City minggu lalu.

"Kita sedia maklum sebelum ini walaupun TFC I merupakan skuad terbanyak menjaringkan gol namun kita juga paling kerap dibolosi di Liga Super.

"Sehubungan itu, kami telah bekerja keras mengatasi masalah itu dengan melakukan analisis, perubahan taktikal dan latihan insentif sepanjang tempoh lima bulan liga ditangguhkan untuk mengatasi kelemahan itu," katanya.

No comments:

Post a Comment