KEMAMAN - Pencarian warga emas yang hilang selepas berkebun sejak Rabu lalu berakhir apabila mayat ditemui terapung di Sungai Kemaman berhampiran Pasir Gajah dekat sini semalam.
Mayat Othman Daud, 79, dijumpai tersangkut pada sebatang kayu mati pada pukul 7.39 pagi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mayat Othman ditemui kira-kira 500 meter dari pusat operasi mencari dan menyelamat yang telah di buka di tebing Sungai Kemaman di sini.
"Kita percaya perahu yang dinaiki mangsa sewaktu dalam perjalanan pulang dari kebunnya telah terbalik. Dia kemudiannya dibawa arus deras sebelum ditemui lemas," katanya di sini semalam.
Menurut Hanyan, setakat ini, perahu yang digunakan Othman untuk menyeberang sungai sewaktu kejadian masih belum ditemui.
Mayat Othman telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk dibedah siasat.
Kosmo! semalam melaporkan lelaki warga emas itu dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke rumah selepas perhi ke kebun di Pasir Manggang, Kampung Pasir Gajah pada Rabu lalu.
No comments:
Post a Comment