Translate

Tuesday, September 8, 2020

Nelayan Vietnam upah mengintip

 

KUALA TERENGGANU - Siasatan yang dilakukan oleh Maritim Malaysia (APMM) mendapati terdapat kemungkinan awak-awak Vietnam yang bekerja dengan nelayan tempatan menyalurkan maklumat kepada rakan mereka untuk menceroboh perairan negara.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Sufi Mohd. Ramli berkata, terdapat segelintir awak-awak warga Vietnam menjadi mata dan telinga rakan senegaranya dalam aktiviti penangkapan hasil laut secara haram di negara ini.

"Bot nelayan Vietnam akan mendapat maklumat berhubung penguat kuasaan APMM daripada rakan mereka yang diupah sebagai awak-awak bot nelayan tempatan.

"Ia salah satu sebab kes pencerobohan nelayan Vietnam sukar dibanteras sepenuhnya walaupun banyak tangkapan telah dilakukan APMM," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Terengganu di sini semalam.

Muhammad Sufi berkata, pihaknya juga telah mengambil inisiatif menghebahkan berita tangkapan nelayan negara jiran itu dalam bahasa Vietnam namun setakat ini masih belum membuahkan hasil.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, APMM telah menahan 27 bot nelayan Vietnam melibatkan 301 tekong dan awak-awak di perairan Terengganu sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hampir sebulan lalu. 

"Ia termasuk dalam kes terbaru, APMM berjaya menahan dua bot nelayan Vietnam pada kedudukan 94 batu nautika dan 107 batu nautika dari muara Sungai Terengganu pada pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari, 7 Ogos lalu.

"Seramai 31 nelayan termasuk seorang tekong berusia 18 hingga 50 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1963," katanya.

Muhammad Sufi berkata, APPM juga merampas 1.5 tan ikan, 2,000 liter diesel, peralatan menangkap ikan dan bot yang dianggarkan bernilai RM3 juta.

Ujar beliau, dua bot nelayan Vietnam terbabit ditahan kapal peronda generasi baharu, Kapal Maritim (KM) Tok Bali yang baru memulakan operasinya pada 6 Julai lalu.

No comments:

Post a Comment