Translate

Sunday, September 20, 2020

Tumpu kurangkan kes lemas

 BESUT - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memperkemaskan lagi operasi penyelamatan mangsa kemalangan air bagi persediaan musim tengkujuh yang bakal tiba tidak lama lagi.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata,  Latihan Pengurusan Bencana (D-Mex) membabitkan pelbagai agensi seperti Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahahan Awam Malaysis (APM) dan Kementerian Kesihatan itu juga bertujuan mengurangkan kadar kematian mangsa lemas.

"D-Mex dapat memperkemas koordinasi dan penyelarasan peranan antara agensi penyelamat dan kecemasan berkenaan sewaktu sesuatu insiden kemalangan air berlaku.

"Ia turut dapat mempertingkatkan strategi kes penyelamatan khususnya di laut agar lebih efisien," katanya selepas merasmikan D-Mex dan Keselamatan Kebakaran di Pulau Perhentian, Kuala Besut dekat sini kelmarin.

Mohammad Hamdan berkata, kes kelemasan di pantai dan sungai di negara ini agak tinggi iaitu 161 kes dengan 129 kematian direkodkan sehingga Julai lalu.

Beliau berkata, tiga negeri iaitu Sabah, Sarawak dan Selangor mencatatkan kes lemas tertinggi setakat ini iaitu 103 kes melibatkan 84 kematian.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Hamdan berkata, JBPM telah mengenal pasti lebih 30 kawasan berisiko sering ditenggelami air di seluruh negara termasuk kejadian banjir luar jangka di luar musim tengkujuh.

Beliau berkata, 176 kes banjir luar jangka telah direkodkan di Selangor, Sabah, Kedah dan Sarawak sejak tiga bulan lalu.

"Lebih 1,000 aset termasuk bot, lori dan ambulans dengan 12,510 pegawai dan anggota bomba telah bersiap sedia digerakkan pada bila-bila masa.

"Aset dan bantuan sumber manusia dari negeri yang tidak berlaku banjir juga akan digerakkan bagi membantu tugas-tugas memindahkan dan menyelamat di negeri-negeri memerlukan pada musim tengkujuh nanti," katanya.



No comments:

Post a Comment