Translate

Wednesday, September 23, 2020

Belum boleh pakai tanjak dalam MyKad

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) masih belum bersedia untuk membenarkan pemakaian tanjak untuk gambar dalam Mykad yang merupakan dokumen rasmi warga negara.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Roslin Jusoh berkata, kajian terperinci perlu diadakan sebelum kebenaran memakai tanjak diputuskan.

"Pemakaian songkok dan kopiah sudah lama dibenarkan tetapi tanjak, kita tengok dulu sama ada boleh atau tidak boleh.

"Buat masa ini, kita tidak bercadang untuk mengubah (prosedur operasi standard pemakaian untuk gambar dalam Mykad)," katanya selepas melancarkan kemudahan pembayaran secara elektronik (e-Bayaran) di JPN Kuala Terengganu  di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan Persatuan Aktivis Busana Melayu (ABM) baru-baru ini agar pemakaian tanjak dibenarkan untuk gambar dalam MyKad.

Presiden ABM, Shahrul Fadzly Mohd. Zainal dipetik sebagai berkata, tanjak juga boleh disifatkan sebagai sebahagian pakaian tradisional yang setaraf dengan songkok dan kopiah.

Ruslin berkata, JPN memerlukan masa untuk memutuskan kewajaran membenarkan pemakaian tanjak berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beliau menyasar semua 225 pejabat cawangan JPN  di seluruh negara akan mengaplikasi perkhidmatan pembayaran tanpa tunai menjelang akhir tahun hadapan.

"Setakat ini, semua pejabat JPN di ibu negeri dan Pusat Transformasi Bandar telah melaksanakan perkhidmatan e-Bayaran termasuk terbaharu JPN Kuala Terengganu.

"Pejabat-pejabat cawangan JPN di daerah juga akan peringkat persediaan dan saya jangka sistem e-Bayaran ini boleh dilaksanakan sepenuhnya selewat-lewatnya akhir tahun 2021," katanya.

Ruslin berkata, pembayaran tanpa tunai bukan sahaja mengawal isu ketirisan, rasuah dan kehilangan hasil negara malah bersesuaian dengan normal baharu mengekang pandemik Covid-19.


No comments:

Post a Comment