Oleh MOHD. AZLI ADLAN
MARANG - Sehari selepas seekor beruang jantan berusia tujuh tahun ditangkap di Kampung Jenang di sini, pasangannya pula memasuki perangkap semalam.
Haiwan seberat 70 kilogram tersebut dikesan memasuki perangkap dipasang Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu pada pukul 5 pagi.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof berkata, haiwan liar berusia lapan tahun itu telah memasuki perangkap yang dipasang di belakang sebuah rumah penduduk di kampung berkenaan.
"Penduduk berkenaan terdengar bunyi bising di belakang rumahnya sewaktu tersedar daripada tidur pada pukul 5 pagi.
"Sebelum itu, perangkap tersebut terus dipasang di kampung berkenaan semalam (kelmarin) selepas penduduk mengadu kemungkinan ada seekor lagi beruang yang masih terlepas," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Abdul Malek berkata, beruang betina berkenaan akan dilepaskan ke Taman Negara Terengganu.
Kosmo! semalam melaporkan kebimbangan penduduk Kampung Jenang di sini sedikit reda selepas seekor beruang jantan seberat 70 kg berjaya ditangkap.
Pasangan beruang matahari terbabit telah dilaporkan berkeliaran di perkampungan berkenaan sejak empat bulan lalu.
Haiwan liar tersebut semakin ganas merosakkan tanaman kelapa penduduk melibatkan kerugian kira-kira RM2,000.
No comments:
Post a Comment