Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KEMAMAN - Rumah uzur berusia hampir 80 tahun dengan sebahagian besar atap bocor dan lantai kayunya pula reput.
Itulah tempat Nor Azura Samsuddin, 32, yang merupakan ibu tunggal bersama anak lelakinya, Muhammad Saiful Azim Rezuan, 8, menumpang teduh sejak berpisah dengan bekas suami lebih tiga tahun lalu.
Ibu muda itu berkata, dia dan anak lelakinya tunggalnya terpaksa menetap di rumah pusaka peninggalan arwah datuknya tersebut setelah mereka ditinggal tanpa nafkah oleh bekas suaminya.
"Saya tidak mampu membaiki kerosakan atap dan lantai kerana hanya menerima gaji mingguan antara RM120 hingga RM150 sebagai pembantu gerai nasi bajet.
"Sebahagian besar atap sudah bocor kecuali ruang tamu menyebabkan rumah kami kerap dilimpahi air hujan hingga menyebabkan banyak peralatan elektrik rosak dan lantai kayu mereput," katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Bukit Anak Dara, Kijal di sini kelmarin.
Nor Azura berkata, pendawaian elektrik terutama di bahagian dapur juga telah rosak akibat sering terkena air hujan.
Tambahnya, ekoran itu, dia dan anak lelakinya perlu memasak dan mandi pada waktu Subuh dan malam dengan bertemankan cahaya lilin.
"Kaki saya juga pernah terseliuh akibat terjerlus ke dalam lantai kayu yang berlubang pada awal bulan Mac lalu.
"Sejujurnya saya bimbang keselamatan kami tetapi tidak pilihan lain termasuk menyewa rumah lain kerana memang tidak mampu. Bil air dan elektrik yang kurang RM40 sebulan pun selalu tertunggak," katanya.
Nur Azura berkata, setakat ini, permohonannya untuk mendapat bantuan membaiki rumah kepadanya agensi kerajaan negeri dan Persekutuan masih tidak menerima sebarang respon positif.
"Harap rumah pusaka tempat kami berteduh ini dapat diperbaiki segera, itu sahaja rayuan saya," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan di akaun Bank Simpanan Nasional Nur Azura 1111329824313049 atau menghubunginya di talian 01117997650.
No comments:
Post a Comment