Translate

Friday, September 11, 2020

Jangan beli alat timbang dan sukat atas talian

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Peniaga dinasihat agar tidak membeli alat timbang dan sukat murah dalam platform e-dagang kerana ia tidak sah.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, penggunaan alat timbang dan sukat yang tidak ditentu sahkan dalam kalangan peniaga merupakan kesalahan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972. 

"Walau pun harga alat timbang dan sukat di platform e-dagang itu murah tetapi ia tidak ditentukan bacaannya benar-benar tepat.

"Alat timbang dan sukat yang ditentu sah bukan sahaja tidak diiktiraf malah lebih membimbangkan timbangannya dikhuatiri tidak tepat hingga menyebabkan pengguna tertipu," katanya selepas menyerahkan alat timbang dan sukat digital dan neraca spring kepada 42 peniaga buah di sekitar pekan Ajil dan Kuala Berang di sini semalam.

Turut hadir Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia.

Rosol berkata, alat timbang dan sukat yang dibeli daripada platform e-dagang kebanyakannya diimport dari China dan bacaannya tidak tepat kerana tidak disediakan manualnya.

Sehubungan itu, Rosol menasihatkan peniaga mendapatkan alat timbang dan sukat yang berharga antara RM150 hingga RM400 daripada pengedar sah dilantik KPDNHEP di seluruh negara.

Beliau berkata, alat timbang dan sukat daripada pengedar sah tidak perlu dikhuatiri ketulenannya telah diperiksa oleh badan khas secara berkala.

"KPDNHEP mengambil serius penggunaan alat timbang dan sukat tidak ditentusahkan dengan memeriksa 337,546 premis sehingga  semalam (kelmarin).

"Seramai 2729 peniaga telah dikompaun melibatkkan nilai RM 378,500.00 manakala rampasan alat timbang dan sukat pula berjumlah RM 349,603," katanya.


No comments:

Post a Comment