Translate

Friday, September 11, 2020

Lelaki maut ketika daki Bukit Besar

 

KUALA TERENGGANU - Seorang ejen insurans meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas ketika sedang melakukan aktiviti mendaki Bukit Besar di sini semalam.

Wan Mohd Azmi Ibrahim, 54, ditemui rebah oleh seorang pendaki lain di laluan denai di bukit tersebut yang setinggi 500 meter dari aras laut sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 8.40 pagi.

Seorang saksi, Zawawi Ngah, 64, berkata, dia  berada kira-kira 200 meter dari lokasi lelaki yang berasal dari Kuala Ibai di sini itu rebah.

"Saya terus berkejar untuk membantunya dengan memberikan CPR (bantuan penafasan) tetapi dia tidak menunjukkan respons positif selain badannya terasa sejuk.

"Saya kemudiannya memaklumkan kejadian itu menerusi aplikasi Whatsapp Kumpulan Pendaki Bukit Besar untuk meminta bantuan," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Zamberi Omar berkata, empat anggota bomba dari balai berkenaan telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat.

"Lokasi mangsa rebah terletak di tengah-tengah laluan denai Bukit Besar yang setinggi 500 meter.

"Mangsa didapati telah meninggal dunia dan dibawa turun ke kaki bukit dengan menggunakan pengusung sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat," ujarnya.


No comments:

Post a Comment