Oleh MOHD. AZLI ADLAN
SETIU - Pulau Lang Tengah dekat sini yang terkenal dengan aktiviti selam skuba dan snorkel menampilkan tarikan terbaharu iaitu aktiviti pendakian ke Bukit Batu Bulan.
Pendakian Bukit Batu Bulan yang setinggi 85 meter dari aras laut bukan sahaja mencabar malah menyajikan keindahan flora dan fauna yang memukau.
Pengurus Besar Summer Bay Resort, John Chong Tze Seng berkata, dua laluan pendakian telah disediakan iaitu 730 meter untuk laluan santai dan 1.5 kilometer bagi laluan mencabar.
"Pengunjung perlu mendaki dan menuruni bukit pada kedudukan 45 darjah sebelum tiba ke kawasan teluk berbatu yang ideal untuk aktiviti bergambar.
"Sepanjang pendakian, kita akan menjumpai pelbagai spesies pokok hutan termasuk pokok pandan laut yang bersaiz gergasi," katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad semalam.
Tze Seng berkata, deretan pokok pandan laut yang rata-ratanya setinggi hampir tujuh meter di sepanjang 10 meter terakhir laluan mendaki itu menawarkan pendaki panorama seolah-olah di lokasi penggambaran filem Avatar.
Beliau berkata, kedua-dua laluan pendakian santai dan mencabar memakan masa kira-kira 45 minit hingga sejam.
"Pakej pendakian Bukit Batu Bulan ini mula diperkenalkan pada 10 Jun lalu dan sambutan yang diterima setakat ini sangat menggalakkan," katanya.
Sementara itu, seorang pelancong, Aimi Nadia Mohd. Anwa, 37, dari Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur berkata, pendakian ke Bukit Batu Bulan memberi kepuasan kepadanya.
"Penat mendaki tidak terasa apabila berpeluang melihat keindahan alam di puncak bukit terutama pokok pandan laut gergasi dan teluk berbatu," katanya.
Pulau Lang Tengah terletak di antara Pulau Redang dan Pulau Perhentian dan boleh diakses menerusi Jeti Merang di sini.
No comments:
Post a Comment