Translate

Saturday, September 12, 2020

"Ingatkan lewat, rupanya terlibat nahas"

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN - Kebimbangan seorang bapa selepas anak lelakinya masih tidak pulang ke rumah rupa-rupanya memberi petanda buruk apabila mangsa terlibat dalam kemalangan di Kilometer 110, Jalan Jerangau - Jabor berhampiran Bandar Al-Muktafi Billah Shah dekat sini kelmarin. 

Mustafa Ghani, 72, berkata, Mohd. Izwan Mustafa, 29, yang memandu kereta Proton Satria meninggal dunia dalam kemalangan yang turut mengorbankan seorang lagi penunggang motosikal, Mohamad Arif Amali, 23.

"Mohd. Izwan bekerja sebagai pemandu jentera berat di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun biasanya dia akan terus pulang ke rumah di Felda Neram 2, Bandar Baru Cheneh, Kemaman sebaik selesai waktu kerja.

"Bagaimanapun, semalam (kelmarin), anak saya masih tidak pulang walaupun hampir Maghrib. Tidak lama kemudian kerisauan saya terjawab apabila menerima panggilan yang memaklumkan dia terlibat dalam kemalangan maut," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Izwan dan Mohamad Arif Amali yang menunggang motosikal Yamaha Y15, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kejadian berlaku apabila kereta Proton Satria dipandu Mohd. Izwan yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Felda Neram 2 tiba-tiba hilang lalu berbabas memasuki laluan bertentangan.

"Kereta tersebut melanggar besi penghadang jalan sebelum dirempuh motosikal Yamaha Y15 ditunggangi Mohamad Arif Amali yang gagal mengelak.

"Impak kemalangan itu menyebabkan Mohamad Arif Amali tercampak memasuki tempat duduk penumpang belakang kereta Proton Satria terbabit," katanya.

Baharudin berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktafi Billah Shah telah bergegas lokasi kejadian apabila menerima maklumat kemalangan itu pada pukul 6.01 petang.

Beliau berkata, pasukan bomba tersebut mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang terperangkap di dalam kereta remuk teruk tersebut.

"Pasukan perubatan mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia sebelum mayat mereka dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk dibedah siasat," katanya.


No comments:

Post a Comment