Translate

Wednesday, September 30, 2020

Langgar kedai abang ipar kerana dendam

 MARANG - Gara-gara dendam lama, seorang lelaki nekad melanggar kedai makan abang iparnya hingga ranap di Kampung Binjai Rendah, Bukit Payong di sini pada Isnin lalu.

Kejadian yang berlaku pada pukul 10.55 malam itu hampir meragut nyawa beberapa pelanggan yang masih berada di lokasi kejadian.

Sumber berkata, sewaktu kejadian, abang ipar suspek yang berusia 46 tahun sedang berkemas untuk menutup operasi kedai makannya.

"Pemilik kedai makan itu tiba-tiba mendengar bunyi dentuman kuat sebelum beberapa pelanggannya yang masih berada di dalam premis itu  bertempiaran lari.

"Dia (mangsa) melihat sebuah lori dipandu adik iparnya sebelum turut sama lari untuk menyelamatkan diri," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut sumber itu, mangsa percaya perbuatan suspek disengajakan kerana lelaki itu pernah dua kali cuba melakukan perbuatan sama sebelum ini.

Hasil soal siasat, pengusaha kedai itu mengaku dia dan adik iparnya telah lama berselisih faham.

Mangsa kemudiannya membuat laporan berhubung kejadian itu di balai polis berhampiran.

"Susulan kejadian itu, polis memberkas suspek bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Deris mengesahkan kejadian itu.

Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

No comments:

Post a Comment