Translate

Friday, September 11, 2020

Atlet lawan pedang, rakan lemas

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Kegembiraan tujuh rakan bermandi-manda berakhir dengan tragedi selepas dua daripada mereka lemas di Pantai Tanjung, Seberang Takir berhampiran Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini semalam.

Mangsa yang meninggal dunia ialah Muhammad Amirul Zulkafli, 15, dan Muhammad Aidil Ashman Abdul Manan, 16.

Muhammad Amirul merupakan atlet pelapis sukan lawan pedang dan pernah mewakili Terengganu pada temasya Sukan Malaysia Perak 2018.

Kejadian pada pukul 7.30 pagi itu berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang mandi bersama lima rakan sekampung mereka di pantai berkenaan. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus, Yusmizan Yusof berkata, ketika kejadian, kesemua mereka dipukul ombak menyebabkan dua daripadanya dibawa arus.

"Dua remaja itu tenggelam dan lima rakannya kemudian berenang ke tepi pantai untuk meminta pertolongan penduduk setempat," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Yusmizan berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus dengan bantuan skuad penyelam dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan.

"Mayat Muhammad Amirul dan Muhammad Aidil Ashman pada pukul 9 pagi tidak jauh dari lokasi mereka dilaporkan tenggelam.

"Mayat kedua-dua mangsa telah dijumpai berhampiran antara satu sama lain di dalam dasar laut yang sedalam kira-kira tiga meter. 

Mayat dua remaja itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat.

Sementara itu, lima lagi remaja yang terselamat dilihat menangis sambil berpelukan sesama mereka.

Mereka kelihatan trauma dengan kejadian yang meragut nyawa dua rakan mereka dan enggan ditemu bual.


No comments:

Post a Comment