Translate

Wednesday, September 9, 2020

Balasan perkosa anak

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BESUT - Penderitaan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun diperkosa ayah kandungnya pada tiga tahun lalu mendapat pembelaan apabila lelaki durjana itu dihukum penjara 36 tahun dan 30 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Wan Azimah Yaakob memerintahkan  hukuman demikian selepas mendapati tertuduh berusia 51 tahun disabitkan bersalah tiga daripada lima pertuduhan dihadapi.

Wan Azimah memerintahkan peniaga terbabit di penjara 18 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama dan kedua dan hukuman berjalan secara berasingan.

Bagi pertuduhan ketiga pula, beliau mengarahkan tertuduh yang juga bapa kepada empat anak di penjara 10 tahun dan 10 sebatan.

Hukuman itu diarahkan berjalan serentak dengan hukuman pertuduhan pertama. 

Tertuduh didakwa merogol mangsa yang juga anak keduanya di sebuah rumah di Chalok, Setiu antara Januari 2017 hingga April 2018.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan maksimum 10 kali.

Mengikut fakta kes, mangsa yang berusia 10 tahun sewaktu kejadian telah berpindah ke rumah datuknya di Selinsing, Pasir Puteh, Kelantan selepas peristiwa hitam berkenaan.

Rahsia tertuduh merogol mangsa hanya terbongkar selepas neneknya terbaca dua surat luahan kanak-kanak perempuan yang menceritakan perbuatan berkenaan.

Mahkamah membenarkan permohonan penangguhan hukuman terhadap anak guam Che Amir bagi membolehkan rayuan dilakukan di Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli manakala tertuduh diwakili peguam, Che Amir Che Musa.


No comments:

Post a Comment