Translate

Tuesday, September 22, 2020

'Susah nak cari orang tolong kami berdua'

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SETIU – Pasangan suami isteri yang kedua-duanya golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) kategori lumpuh merayu bantuan kerusi roda elektrik bagi memudahkan mereka berdikari menguruskan kehidupan seharian.

Che Abdul Halim Mohamad, 42, berkata, dia dan isterinya, Safinah Hasanuddin, 42, yang dikahwininya sejak dua tahun lalu bergantung kepada kerusi roda manual sumbangan Hospital Setiu.

Dia berkata, walau pun bersyukur menerima bantuan kerusi roda manual tersebut namun dia dan isterinya yang belum dikurniakan cahaya mata masih mendambakan kerusi roda elektrik memandangkan mereka kedua-duanya lumpuh.

"Kadang-kala kederat kami untuk menggerakkan sendiri kerusi roda manual masing-masing sudah berkurangan atas faktor usia apatah lagi saya kurang sihat sejak akhir-akhir ini. Sukar juga mencari orang untuk membantu menolak kerusi roda kami.

"Kalau ada satu pun kerusi roda elektrik sudah memadai untuk dikongsi kami bersama-sama bagi menguruskan kehidupan seharian dan mencari rezeki," katanya ketika ditemui di Kampung Buluh Hilir di sini semalam.

Che Abdul Halim berkata, dia dan isteri menampung kehidupan dengan menjual makanan ringan dengan purata  pendapatan RM10 sehari selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.

Berikutan itu katanya, dia tidak mampu membeli sendiri kerusi roda yang dianggarkan berharga RM3,500 sebuah.

Che Abdul Halim tidak mampu berjalan sendiri sejak 13 tahun lalu akibat kecederaan saraf tulang belakang selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya ada tahun 1997 manaka Safinah pula lumpuh akibat penyakit saraf sejak kecil.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghubungi Che Abdul Halim di talian 0197892612 atau menghulur bantuan menerusi akaun bank CIMB miliknya yang bernombor 7049958889.

No comments:

Post a Comment