Translate

Tuesday, September 8, 2020

1,723 pelajar baharu UniSZA mendaftar secara khidmat pandu lalu

 

KUALA NERUS - Seramai 1,723 pelajar baharu Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mendaftar untuk sesi 2020/21 secara khidmat pandu lalu di kampus universiti itu di Gong Badak di sini semalam.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, kesemua pelajar diploma terbabit menjalani proses pendaftaran dengan kenderaan keluarga masing-masing seawal pukul 8 pagi.

"Proses pendaftaran tersebut dilakukan kakitangan UniSZA dengan bantuan sukarelawan terdiri daripada pelajar yang lengkap memakai pelitup muka dan sarung tangan.

"Sebelum itu, pelajar dan ahli keluarganya yang berada di dalam kenderaan akan diperiksa suhu badan masing-masing bagi mencegah penularan pandemik Covid-19," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Hassan Basri berkata,  pelajar baharu berkenaan kemudiannya dibawa ke bilik penginapan masing-masing di kolej kediaman tanpa kehadiran ahli keluarga mereka.

Beliau berkata, kesemua pelajar baharu itu akan mengikuti Minggu Mesra Siswa secara ringkas selama tiga hari sehingga esok.

No comments:

Post a Comment