Translate

Tuesday, September 22, 2020

Ibu tunggal kudung kaki kiri rayu bantuan

KUALA NERUS - Ibu tunggal yang kudung kaki kiri terpaksa mencatu makanan setiap hari untuk berjimat cermat bagi membolehkan semua ahli keluarganya dapat makan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Maimon Yunus, 61, bersama tiga orang anak termasuk dua ibu tunggal yang tidak bekerja dan 10 cucu tinggal bersamanya kini hidup ibarat 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'.

"Selalunya, telur ayam dan budu menjadi hidangan harian kami untuk mengalas perut," katanya.

Dia ditemui di rumahnya di Kampung Batu Kubur Timah, Batu Rakit dekat sini semalam.

Kehidupan ibu malang itu berubah sekelip mata sejak kematian suaminya, Mohd. Abdul Ghani Idris akibat barah paru-paru pada Ogos tahun lalu.

Lebih memeritkan keadaan, Maimon terpaksa menjalani pembedahan memotong kaki kiri sehingga ke paras lutut kerana komplikasi diabetes di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu ketika arwah suaminya sedang bertarung nyawa di hospital yang sama.

"Sejak hari itu, kami hilang punca pendapatan yang mana sebelum ini, kami berniaga menjual sata dan otak-otak di Batu Enam di sini," jelasnya.

Maimon berkata, kehidupan mereka sekeluarga kini bergantung kepada pendapatan bulanan anak bongsu, Mohd. Azmir, 18, sebanyak RM800 sebulan sebagai tukang sapu selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM200 sebulan.

Tambah dia, tahap kesihatannya kini semakin merosot sehingga memaksa dia memakai lampin pakai buang bagi menguruskan diri.

Dia berharap agar dua anak perempuannya, Azizah, 42, dan Azlina, 41, dapat kembali berniaga bagi membantu menambah pendapatan bulanan keluarga.

Orang ramai boleh menyumbang ke akaun Bank Simpanan Nasional milik Maimon iaitu 1110229000172136 atau menghubunginya di talian 0139818105.

No comments:

Post a Comment