JUARA bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) semakin hampir untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut selepas menewaskan Terengganu FC I (TFC I) 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu kelmarin.
Pengendali JDT, Luciano Gabriel Figueroa berkata, dia gembira anak buahnya berjaya meraih tiga mata berharga walaupun telah diberi tentangan sengit oleh skuad Penyu pada aksi tersebut.
"Saya gembira kita pulang dengan tiga mata dan tidak bolos sebarang gol. Aksi ini agak sukar kerana TFC I memberi tekanan hebat kepada kami dengan bermain dengan tempo pantas dan berintensiti tinggi.
"Begitupun pemain-pemain saya berjaya mengawalnya dan mengekalkan formasi pasukan sepanjang perlawanan bagi mempertahankan kelebihan satu gol sekali gus memenangi aksi ini," katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.
Aksi sengit antara JDT dan TFC I itu dipisahkan dengan jaringan tunggal pemain sensasi kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid yang bijak memanfaatkan kesilapan benteng pertahanan lawan pada minit ke-5.
Figueroa berkata, tiga mata yang dibawa pulang itu sangat penting bagi membolehkan JDT membolehkan terus gagah mengemudi takhta Liga Super dengan kelebihan lapan mata di hadapan Perak yang kini berada di tangga kedua liga.
Sementara itu, pengendali TFC I, Mohd. Nafuzi Zain mengakui pasukannya terpaksa berputih mata akibat dihukum oleh kesilapan kecil yang dilakukan pemainnya pada minit-minit awal perlawanan.
No comments:
Post a Comment